Tahun sudah kita disajikan dengan kegilaan anak-anak gadis dan juga isteri orang memegang anjing. Konon atas dasar untuk mengenal dan berbuat baik dengan mahluk Allah SWT bernama anjing. Kita boleh terima kes pelihara anjing kerana sebab-sebab tertentu. Itu telah kita perjelaskan di dalam beberapa artikel yang terdahulu.
Baru beberapa hari kita menyambut tahun baru 2015, negara digemparkan dengan anak-anak gadis Melayu Islam dicabul di hadapan khalayak ramai. Di waktu mangsa musibah banjir tidur berlantaikan papan dan beratapkan plastik, kita berhibur dengan K-Pop. Mereka didakap dan mendakap idola yang membuatkan darah muda anak-anak gadis Melayu ini membuak-buak keghairahan dan kegatalan yang cukup menjolok mata.
Inilah satu proses liberalisasi agama. Merosakkan umat Islam secara halus dan lembut tetapi cukup terancang. Kita tidak menyedari jarum-jarum liberalisasi menembusi hati-hati anak-anak gadis kita melalui hiburan santai K-Pop ini. Secara tanpa disedari ibubapa mula menerima hakikat anak gadisnya didakap dan mendakap "jantan" di khalayak ramai adalah satu perkara biasa sahaja.
Kegilaan apa lagi yang mahu kita pertontonkan. Pedih sungguh mata memandang dan betapa dayusnya menjadi seorang bapa yang membiarkan anak gadisnya didakap dan mendakap "jantan" Korea yang diimport khas kononya satu trend dan tarikan kepada belia masa kini. Dengan sejumlah wang yang banyak untuk membawa masuk mereka ini, kita seolah-olah berbelanja untuk membeli dosa dan kemukaan Allah SWT.
Kenapa begitu kolot dan bonzainya akal mereka yang membawa masuk K-Pop dengan alasan yang dangkal sekali. Ada banyak cara kita mengiktiraf golongan belia atau menjana ekonomi negara bukan dengan cara membawa budaya mungkar ke negara ini. Kita baru sahaja ditimpa musibah banjir sebagai satu peringatan daripada Allah SWT. Musibah apa lagi yang kita mahu tempah selepas ini.
Sekali sekala mohon belajar meletakkan rasa takut dan malu kita kepada Allah SWT. Ke mana perginya iman anak-anak gadis yang bertudung ini. Gadis Melayu Islam bertudung naik ke pentas kemudian merelakan dirinya diraba, disentuh, didakap dan dicium oleh "jantan" Korea seolah-olah dirinya heroin drama Korea. Kuat sungguh gadis Melayu kita terpengaruh dengan K-Pop dan drama Korea ini.
Benar sungguh apa yang disebut oleh Imam al-Ghazali: "Rosaknya rakyat disebabkan rosaknya pemimpin". K-Pop tidak datang secara sukarela dan kehendak hatinya melainkan mereka djemput dan dibayar dengan sejumlah wang yang banyak. Pada tahun 2012 sejumlah RM1.6 juta diperuntukan kepada artis K-Pop sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan.
Yang lebih menyedihkan pihak berwajib menjaga agama bisu seribu bahasa. Negara kita memiliki Mufti teramai di dunia. Mungkin juga kita memegang rekod Mufti paling senyap di dunia. Mereka melihat mungkar tanpa sepatah kata. Seolah-olah redha terhadap mungkar di hadapan mata kerana menjaga kedudukan dan pangkat di dunia yang fana ini.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Akan sampai kepada umatku suatu zaman di mana Islam itu hanya tinggal pada nama, al-Quran itu hanya tulisan sahaja, masjid besar tetapi sunyi daripada hidayah (tidak dimarahkan) dan ulama adalah sejahat-sejahat makhluk yang ada di antara lagit dan bumi, daripada mereka datangnya fitnah dan kepada mereka fitnah dikembalikan". (Terjemahan: Hadis Riwayat al-Baihaqy).
Di ketika kita merindui suara para alim ulama menegur kemungkaran, mereka mengambil sikap membisau dan berdiam diri sahaja. Benarlah kata junjungan besar Nabi Muhamad SAW bahawa akhir zaman nanti daripada alim ulama ini datang pelbagai fitnah dan kepada mereka fitnah dikembalikan. Berdiam dan membisu menjadikan fitnah ke atas golongan agama.
No comments:
Post a Comment